Wednesday 8 July 2009

Sastera bukan omong kosong Oleh Nazmi Yaakub

Tanggapan sempit masyarakat, penilaian dari aspek ekonomi tidak adil SEMINAR Pengetua: Kesusasteraan Melayu dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) membangkitkan kepentingan memberi makna lebih luas kepada sastera bagi membebaskannya daripada tanggapan sempit terhadapnya atau melihat nilai ekonomi semata-mata. Hakikat karya sastera sebenarnya melangkaui pelbagai disiplin ilmu dan berupaya menjadi medan mempersiapkan pelajar dalam menghadapi masa depan, sekiranya sekolah dapat merangka kegiatan yang membantu proses perkembangan individu, turut dibangkitkan.


Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Yusof Othman, berkata gelombang dominasi golongan peniaga dalam menentukan dasar sejagat dan negara, menjadi antara penyebab kegiatan dan perbincangan bahasa serta sastera terpisah daripada sains, teknologi maklumat atau komunikasi. “Ini menyebabkan aktiviti yang dapat menyuburkan kegiatan ekonomi diberi keutamaan dalam masa singkat, berbanding isu bahasa dan sastera. Kita faham golongan peniaga mementingkan ekonomi, untung dan rugi sehingga sanggup meninggalkan bahasa dan sastera mereka, bahkan ‘menjualnya’ sekalipun,” katanya pada seminar bertema Kerelevanan Kesusasteraan Melayu dalam Era Sains, Teknologi Maklumat dan Komunikasi di Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Raja Melewar, Seremban, baru-baru ini. Baginya, kelompok peniaga perlu memuaskan hati pelabur dan pelanggan mereka yang juga mengutamakan untung rugi daripada segi saham dan wang dalam masa singkat sehingga menyebabkan pembangunan bahasa dan sastera menjadi semakin terhimpit.
“Apatah lagi bahasa asing berjaya membina budaya tersendiri dalam dunia perniagaan. Ia mempromosi dan melariskan perniagaan khususnya dalam sektor perkhidmatan serta perundingan. Apatah lagi golongan peniaga menggunakan bahasa asing dalam perniagaan atas alasan globalisasi,” katanya pada seminar anjuran Persatuan Penulis Negeri Sembilan dan Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan. Sungguhpun demikian, Prof Mohd Yusof tetap yakin bahawa tanggapan terhadap bahasa dan sastera itu silap kerana pemerkayaan kedua-dua bidang terbabit bererti kemajuan dalam falsafah, budaya dan pembinaan skema berfikir sehingga bahasa diangkat sebagai jiwa bangsa. “Sastera pula tidak boleh hanya dibatasi kepada penghasilan dan penciptaan seni melalui objek, penampilan diri, pertuturan dan penulisan, sebaliknya sebagai penampilan idea serta pemikiran baru yang dijana oleh peradaban, budaya, penghayatan nilai mahupun agama. “Keterampilan imatatif atau imaginatif yang menjadi dasar kepada pengertian kesusasteraan sewajarnya diperluaskan kepada kemampuan diri untuk menghasilkan idea baru dalam kehidupan kontemporari tanpa mengabaikan budaya mahupun kesusasteraan bangsa,” tegasnya.
Pandangan Prof Mohd Yusof dikukuhkan oleh Penyandang Kursi Tun Abdul Ghaffar Baba, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Zainal Kling, yang turut menolak tanggapan sempit bahawa sastera terhad kepada khayalan kosong. “Penulis kreatif dan deskriptif mengerahkan daya fikir yang kreatif dan imaginatif melalui penguasaan bahasa tinggi untuk membina kerangka pemikiran menyeluruh sebagai hasil terakhir dan terbaik mereka. Dalam proses pembinaan kerangka pemikiran itu, mereka menggunakan wahana seni dan sastera, sekali gus menjadikannya sebagai pencipta ulung seperti ditunjukkan pengarang novel Lord of the Ring dan Harry Potter,” katanya ketika memperincikan Alam Kesusasteraan dan Pembinaan Modal Insan Kreatif. Prof Zainal membuktikan kebenaran dakwaannya apabila karya terbabit menjadi sumber kajian dan penelitian yang melangkaui bidang sastera sehingga menjadi sumber pelbagai pengetahuan daripada agama, mitos, legenda, sains, magis, biologi, farmasi, arkeologi serta filem, manakala karya agung pula dijadikan epik moden mahupun filem. “Kekayaan ilmu dalam karya sastera tidak terbatas kerana sebarang sudut pandangan ilmu dapat dipergunakan untuk meneliti, memahami dan menghurai novel, sedangkan ribuan jenis watak dalam karya dapat dikaji daripada perspektif psikologi seperti watak homoseksual, kepimpinan, autoritarian, feminisme dan demokrat. “Sastera ialah alam yang penuh dengan daya cipta pengkarya yang menggemblengkan kekuatan pemikiran, ilmu, imaginasi dan penciptaannya dalam usaha menzahirkan karyanya seperti seseorang yang menulis mengenai biologi atau genetik, mesti memahaminya, sama seperti novel,” katanya. Pengetua Cemerlang yang juga Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Sedia Raja, Rembau, Datin Azimah Alis, berkata kesusasteraan berupaya menyediakan bahan dan rangsangan bagi membantu proses perkembangan individu, sekali gus menghasilkan modal insan di kalangan pelajar. “Pengetua perlu memastikan program sastera peringkat sekolah berupaya memperkasa bahasa Melayu, menimbul dan menanam budaya suka membaca serta menghasilkan karya berkualiti yang sebenarnya membantu mereka untuk berdepan dengan realiti hidup,” katanya ketika melapah Ke Arah Melahirkan Penulis dan Hasil Karya dalam Kesusasteraan Melayu di Peringkat Sekolah. Bagaimanapun, beliau tidak menafikan sekolah tidak boleh lari daripada mengambil kira keadaan semasa dan keupayaan kegiatan kesusasteraan untuk mempersiapkan pelajar bagi menghadapi masa depan mereka.

No comments:

Post a Comment