Wednesday 8 July 2009

Sayembara, hadiah atau mutu karya Oleh Nazmi Yaakub

Benarkah karya tidak mampu keluar daripada lingkaran SAYEMBARA sastera boleh dianggap 'lubuk emas' kepada pengarang tanah air kerana sesetengah menawarkan hadiah lumayan berbanding royalti jualan buku yang mungkin terpaksa ditunggu dan ditagih bertahun-tahun selain kemungkinan melepas kerana tidak melepasi sasaran penerbit. Peraduan Formula Malaysia 2000 umpamanya menawarkan hadiah keseluruhan RM2.4 juta, dengan genre cerpen RM150,000 untuk hadiah utama; RM100,000 (kedua) dan RM50,000 (ketiga), selain Hadiah Sayembara Mengarang Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2007 yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM424,000.
Di sebalik kemeriahan nilai hadiah itu, pengarang terikat kepada syarat dan format penganjur sehingga ada yang menganggap peserta terpaksa mengorbankan kebebasan berkarya untuk mengejar kemenangan. Bagaimanapun, pengarang wanita, Aminah Mokhtar, menolak tanggapan tema yang ditetapkan penganjur mengongkong kreativiti pengarang berdasarkan pengalamannya menyertai sayembara, sebaliknya menjadikan penulis lebih fokus ketika berkarya. “Oleh itu, karya saya lebih terarah dan ada hala tuju sehingga watak ciptaan saya ‘berjejak’ dalam cerita yang dikarang, tetapi murninya hasil karya lahir dari hati nurani penulis, bukan daripada tema atau syarat yang ditetapkan penganjur.
“Bagi saya proses kreatif karya untuk sayembara dan penerbitan tidak ada bezanya, sebaliknya lahir dari hati, perasaan serta diri seperti setiap kali ingin berkarya. Saya perlu mencari sumber dan bahan yang diperlukan, selain gaya bahasa, pendekatan serta hala tuju karya tetap sama,” katanya yang pernah memenangi tempat pertama Peraduan Menulis Novel Alaf Baru 2001 melalui Dominasi Tebrau. Mengenai label yang dilemparkan kepada pengarang yang kerap muncul dalam sayembara, Aminah menganggapnya sebagai tanggapan tak adil kerana beliau menyertai sayembara bagi menimba ilmu pengetahuan dalam bidang terbabit. “Saya sedar latar pendidikan dan kerjaya saya jauh berbeza dari dunia sastera. Justeru saya mahu menguji kedudukan hasil kerja sastera saya. Saya terima kritikan penilai di kalangan ahli akademik sastera kerana mereka memaklumkan kekuatan dan kelemahan. Saya manfaatkan segala maklumat itu bagi meningkatkan kerja sastera, manakala kemenangan dan imbuhan sebagai bonus,” katanya yang meraih hadiah kedua Peraduan Formula Malaysia 2000, iaitu hadiah cerpen termahal dalam sejarah sayembara tanah air. Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Che Abdullah Che Ya, berkata syarat dan format yang ditetapkan penganjur dan dianggap sesetengah pihak ‘mengurung’ penulis, sebenarnya memberi kebaikan kepada mereka.
“Syarat dan format yang dikenakan penganjur membantu peserta sayembara daripada merewang. Biasanya syarat dan format sayembara tidaklah ketat, baik dari segi tema atau pemikiran yang hendak diangkat ke dalam karya. Ia adalah pilihan penulis sama ada menyertai atau tidak,” katanya kepada Sastera di Bangi, baru-baru ini. Dalam konteks estetika, Che Abdullah menegaskan sayembara tidak menetapkan jalan cerita dan teknik, plot serta gaya bahasa yang perlu digunakan oleh peserta, sebaliknya memberikan kebebasan kepada mereka untuk berkarya. “Estetika perlu dilihat kepada keupayaan pengarang untuk menggabungkan gaya penulisan dan tema, selain memasukkan pemikiran ke dalamnya. Justeru, sayembara menyediakan ruang kepada pengarang untuk tetap menghasilkan karya berestetika, sekali gus kejayaan ditentukan oleh kemahiran mengolah,” katanya. Bagaimanapun, peringatan Pensyarah Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Prof Dr Mohamad Mokhtar Abu Hassan, wajar diambil kira di sebalik keghairahan menyertai sayembara bagi mengelakkan mereka daripada ‘terperangkap’ sehingga tidak berupaya melangkah lebih jauh. “Meskipun sayembara memberikan kebaikan daripada sudut menggalakkan penghasilan karya, saya dapati ada sesetengah pengarang yang menghasilkan karya semata-mata untuk menyertainya dan ‘merebut’ hadiah. “Apabila motifnya semata-mata untuk sayembara, pengarang tidak lagi mementingkan mutu, estetika atau tujuan yang berhubung dengan sastera, sebaliknya menulis karya yang sesuai dengan tema, selain melihat siapa yang bakal menjadi panel hakim,” katanya yang berpengalaman lebih sedekad dalam menganggotai panel sayembara sastera. Prof Mohamad Mokhtar berkata, karya yang terarah kepada sayembara, mungkin mendapat penilaian yang baik daripada panel hakim, tetapi mutunya hanya berlegar dalam konteks sayembara dan tidak berupaya melangkah lebih jauh. “Justeru, kita dapati ada karya yang lahir daripada sayembara, tetapi mati begitu saja apabila tidak berupaya melangkah sebagai karya agung, manakala kekuatannya hanya kekal pada masa singkat kerana penghasilannya tidak mengambil kira mutu, estetika dan pemikiran,” katanya.

No comments:

Post a Comment