Thursday 26 November 2009

Penulis kreatif digesa jangan abaikan etika oleh Hasrulraizan .Dipetik dari Media Permata, Selasa, 24 November 2009



BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin - Bagi mereka yang memilih penulisan sastera kreatif terutama yang berorientasikan ajaran Islam eloklah berhati-hati, teliti dan jangan sampai mengabaikan etika dan akhlak penulisan itu sendiri.
Menteri Hal Ehwal Agama, Pehin Dato Seri Utama Dr Haji Md Zain Haji Serudin membawakan firman Allah ayat 3 Surah Ash-Shaff dan ayat 44 Surah Al-Baqarah yang antara lain bermaksud menegur mereka yang menyatakan sesuatu atau menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan tetapi dia sendiri tidak melakukan apa yang dikatakan dan disuruhnya itu.
Di majlis Malam Sastera Islam yang diadakan di Dewan Persantapan (Banquet) Bangunan Majlis-Majlis Mesyuarat Negara malam ini, beliau menjelaskan bahawa tujuan dan arah penulisan itu ialah mengajak manusia bagi mendapatkan keredaan Allah.
Pada majlis itu, beliau turut melancarkan enam buku terbitan Pusat Dakwah Islamiah iaitu Himpunan Ayat-Ayat Al-Quran dan Hadith Mengenai Derma dan Sedekah, Himpunan Ayat-Ayat Al-Quran dan Hadith Mengenai Pakaian, Zikir Menjana Masyarakat Bertaqwa, Puisi Hidayat IV, Hidup Diharungi Mati Ditempuhi dan Lambaian Islam II.
Pehin Dato Seri Utama Dr Haji Md Zain dalam ucapannya menyatakan harapannya semoga buku-buku itu akan menambah khazanah perpustakaan bagi pembacanya menimba ilmu, dijadikan bahan percambahan minda terutama dalam berdakwah mengajak manusia supaya berbuat kebaikan dan mencegah melakukan kemungkaran.
Di akhir majlis, beliau turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang Peraduan Penulisan Seni Kreatif Berunsur Islam Sempena Israk & Mikraj 1429H/2008.
Juara Bahagian Rencana ialah Nor Mala Haji Dullah dengan rencana 'Keindahan Sabar Nabi Allah Ibrahim 'Alaihissalam', manakala Siti Jalia Haji Dullah muncul naib juara melalui rencananya 'Kesabaran dan Ketabahan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam Dalam Mensyiarkan Agama Islam' dan tempat ketiga dimenangi Haji Romzi Haji Hidup menerusi rencana 'Nabi Muhammad Rasul Ulul Azmi Paling Agung'.
Juara Bahagian Sajak ialah Hidup Haji Mohammad Zin melalui 'Nabi Ibrahim: Sirahmu Adalah Teladan', manakala di tempat kedua ialah Suryani Haji Ariffin (Gemilang) dan Norsinah Haji Dullah (Inspirasi Umat) menduduki tangga ketiga.
Bahagian Buku Cerita Kanak-Kanak Bergambar dijuarai Abdul Khalid Haji Md Noor yang menulis "Nabi Nuh 'Alaihissalam dan Bahteranya', diikuti Sosonjan Ayunkhan selaku naib juara (Nabi Isa: Tabah dan Sabar Kerana Allah), dan Rohana Haji Abdul Hamid di tempat ketiga (Kesabaran Nabi Nuh 'Alaihissalam Menghadapi Kaumnya Yang Degil).

PENYAMPAIAN HADIAH PERADUAN PENULISAN KREATIF ISLAM Oleh Hasrulraizan Dipetik dari Media Permata, pada hari Rabu, 25 November 2009








BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa - Pemenang Peraduan Penulisan Seni Kreatif Berunsur Islam sempena Israk dan Mikraj 1429H/2008 menerima hadiah mereka masing-masing malam tadi di Malam Sastera Islam.
Nor Mala Haji Dullah, Hidup Haji Mohammad Zin dan Abdul Khalid Haji Md Noor masing-masing menjuarai Bahagian Rencana, Bahagian Sajak dan Bahagian Buku Cerita Kanak-Kanak Bergambar di dalam peraduan itu.
Naib juara Bahagian Rencana ialah Siti Jalia Haji Dullah, manakala Haji Romzi Haji Hidup mendapat tempat ketiga. Menyandang naib juara Bahagian Sajak ialah Suryani Haji Ariffin dan di tempat ketiga adalah Norsinah Haji Dullah. Bagi Bahagian Buku Cerita Kanak-Kanak Bergambar, Sosonjan Ayunkhan muncul naib juara, sedang tempat ketiga menjadi milik Rohana Haji Abdul Hamid.
Menyampaikan hadiah kepada pemenang serta beberapa orang penerima hadiah penghargaan ialah Pengiran Setia Negara Pengiran Dr Haji Mohd Yusuf Pengiran Haji Abdul Rahim.
Di awal majlis di Dewan Persantapan, Bangunan Majlis-Majlis Mesyuarat Negara itu, sebanyak enam buah buku terbitan Pusat Dakwah Islamiah dilancarkan penerbitannya oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Pehin Dato Seri Utama Dr Haji Mohd Zain Haji Serudin setelah beliau berucap.
Malam Sastera Islam dimeriahkan dengan dua persembahan lagu puisi disampaikan oleh Hans Anwar, Rosman Masri, Joe M dan Fakhrul Razi, iaitu Ini Zat Bukan Bayangku karya Badaruddin HO dan Tegakkan Kemanusiaan karya Syukri Zain.
Selain itu majlis turut diserikan dengan persembahan deklamasi sajak yang memenangi hadiah pertama Bahagian Sajak iaitu Nabi Ibrahim Sirahmu Adalah Teladan yang disampaikan oleh penulisnya sendiri, Hidup diikuti persembahan syair oleh Pengiran Haji Yunos Pengiran Haji Salleh dan Pengiran Haji Abu Bakar Pengiran Haji Mohammad.
Turut menjayakan persembahan malam itu adalah johan Kategori A Pertandingan Deklamasi Sajak Patriotik Secara Berkumpulan anjuran Pusat Dakwah Islamiah yang lalu iaitu Kumpulan Laila Sari dari Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI) yang menyampaikan sajak berjudul Senandung Anak Watan karya Adi Rumi.
Turut naik ke pentas mempersembahkan bacaan sajak ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Pengiran Haji Abdul Rahman dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pehin Dato Paduka Seri Setia Haji Badaruddin Haji Othman dan pengetua Pusat Sejarah, Pehin Dato Seri Utama Dr Haji Mohd Jamil Al-Sufri Haji Umar.

Wednesday 8 July 2009

Sastera bukan omong kosong Oleh Nazmi Yaakub

Tanggapan sempit masyarakat, penilaian dari aspek ekonomi tidak adil SEMINAR Pengetua: Kesusasteraan Melayu dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) membangkitkan kepentingan memberi makna lebih luas kepada sastera bagi membebaskannya daripada tanggapan sempit terhadapnya atau melihat nilai ekonomi semata-mata. Hakikat karya sastera sebenarnya melangkaui pelbagai disiplin ilmu dan berupaya menjadi medan mempersiapkan pelajar dalam menghadapi masa depan, sekiranya sekolah dapat merangka kegiatan yang membantu proses perkembangan individu, turut dibangkitkan.


Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Yusof Othman, berkata gelombang dominasi golongan peniaga dalam menentukan dasar sejagat dan negara, menjadi antara penyebab kegiatan dan perbincangan bahasa serta sastera terpisah daripada sains, teknologi maklumat atau komunikasi. “Ini menyebabkan aktiviti yang dapat menyuburkan kegiatan ekonomi diberi keutamaan dalam masa singkat, berbanding isu bahasa dan sastera. Kita faham golongan peniaga mementingkan ekonomi, untung dan rugi sehingga sanggup meninggalkan bahasa dan sastera mereka, bahkan ‘menjualnya’ sekalipun,” katanya pada seminar bertema Kerelevanan Kesusasteraan Melayu dalam Era Sains, Teknologi Maklumat dan Komunikasi di Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Raja Melewar, Seremban, baru-baru ini. Baginya, kelompok peniaga perlu memuaskan hati pelabur dan pelanggan mereka yang juga mengutamakan untung rugi daripada segi saham dan wang dalam masa singkat sehingga menyebabkan pembangunan bahasa dan sastera menjadi semakin terhimpit.
“Apatah lagi bahasa asing berjaya membina budaya tersendiri dalam dunia perniagaan. Ia mempromosi dan melariskan perniagaan khususnya dalam sektor perkhidmatan serta perundingan. Apatah lagi golongan peniaga menggunakan bahasa asing dalam perniagaan atas alasan globalisasi,” katanya pada seminar anjuran Persatuan Penulis Negeri Sembilan dan Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan. Sungguhpun demikian, Prof Mohd Yusof tetap yakin bahawa tanggapan terhadap bahasa dan sastera itu silap kerana pemerkayaan kedua-dua bidang terbabit bererti kemajuan dalam falsafah, budaya dan pembinaan skema berfikir sehingga bahasa diangkat sebagai jiwa bangsa. “Sastera pula tidak boleh hanya dibatasi kepada penghasilan dan penciptaan seni melalui objek, penampilan diri, pertuturan dan penulisan, sebaliknya sebagai penampilan idea serta pemikiran baru yang dijana oleh peradaban, budaya, penghayatan nilai mahupun agama. “Keterampilan imatatif atau imaginatif yang menjadi dasar kepada pengertian kesusasteraan sewajarnya diperluaskan kepada kemampuan diri untuk menghasilkan idea baru dalam kehidupan kontemporari tanpa mengabaikan budaya mahupun kesusasteraan bangsa,” tegasnya.
Pandangan Prof Mohd Yusof dikukuhkan oleh Penyandang Kursi Tun Abdul Ghaffar Baba, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Zainal Kling, yang turut menolak tanggapan sempit bahawa sastera terhad kepada khayalan kosong. “Penulis kreatif dan deskriptif mengerahkan daya fikir yang kreatif dan imaginatif melalui penguasaan bahasa tinggi untuk membina kerangka pemikiran menyeluruh sebagai hasil terakhir dan terbaik mereka. Dalam proses pembinaan kerangka pemikiran itu, mereka menggunakan wahana seni dan sastera, sekali gus menjadikannya sebagai pencipta ulung seperti ditunjukkan pengarang novel Lord of the Ring dan Harry Potter,” katanya ketika memperincikan Alam Kesusasteraan dan Pembinaan Modal Insan Kreatif. Prof Zainal membuktikan kebenaran dakwaannya apabila karya terbabit menjadi sumber kajian dan penelitian yang melangkaui bidang sastera sehingga menjadi sumber pelbagai pengetahuan daripada agama, mitos, legenda, sains, magis, biologi, farmasi, arkeologi serta filem, manakala karya agung pula dijadikan epik moden mahupun filem. “Kekayaan ilmu dalam karya sastera tidak terbatas kerana sebarang sudut pandangan ilmu dapat dipergunakan untuk meneliti, memahami dan menghurai novel, sedangkan ribuan jenis watak dalam karya dapat dikaji daripada perspektif psikologi seperti watak homoseksual, kepimpinan, autoritarian, feminisme dan demokrat. “Sastera ialah alam yang penuh dengan daya cipta pengkarya yang menggemblengkan kekuatan pemikiran, ilmu, imaginasi dan penciptaannya dalam usaha menzahirkan karyanya seperti seseorang yang menulis mengenai biologi atau genetik, mesti memahaminya, sama seperti novel,” katanya. Pengetua Cemerlang yang juga Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Sedia Raja, Rembau, Datin Azimah Alis, berkata kesusasteraan berupaya menyediakan bahan dan rangsangan bagi membantu proses perkembangan individu, sekali gus menghasilkan modal insan di kalangan pelajar. “Pengetua perlu memastikan program sastera peringkat sekolah berupaya memperkasa bahasa Melayu, menimbul dan menanam budaya suka membaca serta menghasilkan karya berkualiti yang sebenarnya membantu mereka untuk berdepan dengan realiti hidup,” katanya ketika melapah Ke Arah Melahirkan Penulis dan Hasil Karya dalam Kesusasteraan Melayu di Peringkat Sekolah. Bagaimanapun, beliau tidak menafikan sekolah tidak boleh lari daripada mengambil kira keadaan semasa dan keupayaan kegiatan kesusasteraan untuk mempersiapkan pelajar bagi menghadapi masa depan mereka.

Penulis muda mulut celupar Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim

MEDIA cetak arus perdana dan editor sastera dibelasah penulis generasi muda pada Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPNM) Kedua: Arah dan Cabaran apabila mereka didakwa takut menyiarkan karya satira sehingga menyekat kebebasan berkarya kelompok terbabit. Wartawan bebas, Ali Bukhari Amir, berkata situasi itu menyebabkan penulis muda yang ingin melihat karya mereka mendapat tempat dalam media arus perdana berusaha menghasilkan karya menurut selera editor sastera dan terpaksa berhati-hati ketika berkarya.

“Pendekatan yang digunakan media massa dan editor sastera mengehadkan karyawan berkarya secara bebas kerana sedar sekiranya karya yang ditulis berbaur sinis, ia tidak akan disiarkan,” katanya ketika memperkatakan Penulis Muda Tiada Perjuangan? pada PPNM di Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini. Perhimpunan anjuran Persatuan Penulis Nasional (Pena) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mendapat kerjasama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Aswara dan DBP Cawangan Selatan, dihadiri kira-kira 150 penulis muda dan veteran. Bagaimanapun, pandangan Ali disangkal penulis muda, Ummu Hani Abu Hassan yang yakin bahawa pengarang kreatif tempatan sebenarnya mampu berkarya tanpa sekatan dengan syarat pengkarya kreatif dalam menyampaikan mesej dan dengan sendiri mutu karya tidak terjejas.

"Bagi memastikan karya kita berpeluang menembusi akhbar dan majalah, penulis sewajarnya bertindak kreatif dan bijaksana dalam memilih bahantara mahupun watak bagi menyindir tokoh tertentu, tanpa perlu mengguris hati pihak yang ditegur,” katanya ketika melapah Hasrat Introspeksi Karya: Pengalaman Menulis Cerpen dalam Akhbar Mingguan Malaysia. Ummu Hani menolak pandangan penganjur PPNM bahawa penulis muda tiada perjuangan kerana dakwaan sedemikian baginya perlu disertai sokongan fakta dan mengingatkan kelompok terbabit bahawa dalam memperjuangkan idealisme mereka perlu menggunakan senjata intelektual, emosi dan pengalaman. "Tugas penulis membetulkan kesalahan masyarakat dengan menjadikan pena sebagai senjata mereka. Bagaimanapun, teguran mesti bertepatan dengan konsep dakwah iaitu seruan secara berhemah, contoh teladan yang baik dan bersesuaian dengan keadaan," jelasnya. Seorang lagi penulis muda, Nasirin Abdillah, mengesyorkan sains dan sastera digabungkan demi kepentingan generasi akan datang selain mencadangkan filem yang menjadi wadah utama masa kini, dimanfaatkan agar karya bermutu tinggi dapat diangkat ke layar perak untuk dikongsi dengan masyarakat sehingga membibitkan minat terhadap sastera.
“Penerbitan filem berdasarkan karya sastera sebagai satu wadah menggabungkan sains dan sastera, membolehkan kedua-dua disiplin terbabit tidak terpisah. Kedua-duanya saling memerlukan dan dengan cara ini penulis tempatan dapat membantu khalayak memahami sains dalam bentuk bentuk penulisan kreatif," ujarnya ketika membicarakan Sains dan Sastera dalam Filem: Satu Tinjauan Terhadap Sastera Inggeris Justeru, beliau berharap kelompok penulis muda dapat meningkatkan pengetahuan mereka terutamanya berkaitan sains dan teknologi bagi membolehkan bidang terbabit menjadi bahan utama dalam penulisan kreatif kerana kebanyakan penulis tempatan taksub dengan kisah cinta. "Penulis muda sewajarnya lebih cakna terhadap isu global yang berteraskan sains dan teknologi, Menjadi harapan kita tiada lagi jurang yang ketara di antara sains dan sastera seperti apa yang berlaku dalam sistem pendidikan kita hari ini," katanya mengharap. Pelajar Jurusan Kejuruteraan Kimia, Universiti Teknologi Petronas (UTP), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, pula melihat pelajar dan mahasiswa aliran sains mampu didorong meminati sastera sekiranya pendekatan yang betul digunakan bagi merealisasikan impian terbabit. “Bagi mempromosikan sastera untuk golongan ini, penulis perlu menghadirkan wacana dengan mengetengahkan tema ringan sebelum menyogokkan mereka dengan pengisian lebih agresif,” kata penulis muda itu yang mula berjinak dalam bidang penulisan ketika merincikan Sastera Ilmi Sebagai Pemangkin Budaya Intelektualisme Dalam Peradaban Ummah: Satu Renungan Awal.

Sayembara, hadiah atau mutu karya Oleh Nazmi Yaakub

Benarkah karya tidak mampu keluar daripada lingkaran SAYEMBARA sastera boleh dianggap 'lubuk emas' kepada pengarang tanah air kerana sesetengah menawarkan hadiah lumayan berbanding royalti jualan buku yang mungkin terpaksa ditunggu dan ditagih bertahun-tahun selain kemungkinan melepas kerana tidak melepasi sasaran penerbit. Peraduan Formula Malaysia 2000 umpamanya menawarkan hadiah keseluruhan RM2.4 juta, dengan genre cerpen RM150,000 untuk hadiah utama; RM100,000 (kedua) dan RM50,000 (ketiga), selain Hadiah Sayembara Mengarang Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2007 yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM424,000.
Di sebalik kemeriahan nilai hadiah itu, pengarang terikat kepada syarat dan format penganjur sehingga ada yang menganggap peserta terpaksa mengorbankan kebebasan berkarya untuk mengejar kemenangan. Bagaimanapun, pengarang wanita, Aminah Mokhtar, menolak tanggapan tema yang ditetapkan penganjur mengongkong kreativiti pengarang berdasarkan pengalamannya menyertai sayembara, sebaliknya menjadikan penulis lebih fokus ketika berkarya. “Oleh itu, karya saya lebih terarah dan ada hala tuju sehingga watak ciptaan saya ‘berjejak’ dalam cerita yang dikarang, tetapi murninya hasil karya lahir dari hati nurani penulis, bukan daripada tema atau syarat yang ditetapkan penganjur.
“Bagi saya proses kreatif karya untuk sayembara dan penerbitan tidak ada bezanya, sebaliknya lahir dari hati, perasaan serta diri seperti setiap kali ingin berkarya. Saya perlu mencari sumber dan bahan yang diperlukan, selain gaya bahasa, pendekatan serta hala tuju karya tetap sama,” katanya yang pernah memenangi tempat pertama Peraduan Menulis Novel Alaf Baru 2001 melalui Dominasi Tebrau. Mengenai label yang dilemparkan kepada pengarang yang kerap muncul dalam sayembara, Aminah menganggapnya sebagai tanggapan tak adil kerana beliau menyertai sayembara bagi menimba ilmu pengetahuan dalam bidang terbabit. “Saya sedar latar pendidikan dan kerjaya saya jauh berbeza dari dunia sastera. Justeru saya mahu menguji kedudukan hasil kerja sastera saya. Saya terima kritikan penilai di kalangan ahli akademik sastera kerana mereka memaklumkan kekuatan dan kelemahan. Saya manfaatkan segala maklumat itu bagi meningkatkan kerja sastera, manakala kemenangan dan imbuhan sebagai bonus,” katanya yang meraih hadiah kedua Peraduan Formula Malaysia 2000, iaitu hadiah cerpen termahal dalam sejarah sayembara tanah air. Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Che Abdullah Che Ya, berkata syarat dan format yang ditetapkan penganjur dan dianggap sesetengah pihak ‘mengurung’ penulis, sebenarnya memberi kebaikan kepada mereka.
“Syarat dan format yang dikenakan penganjur membantu peserta sayembara daripada merewang. Biasanya syarat dan format sayembara tidaklah ketat, baik dari segi tema atau pemikiran yang hendak diangkat ke dalam karya. Ia adalah pilihan penulis sama ada menyertai atau tidak,” katanya kepada Sastera di Bangi, baru-baru ini. Dalam konteks estetika, Che Abdullah menegaskan sayembara tidak menetapkan jalan cerita dan teknik, plot serta gaya bahasa yang perlu digunakan oleh peserta, sebaliknya memberikan kebebasan kepada mereka untuk berkarya. “Estetika perlu dilihat kepada keupayaan pengarang untuk menggabungkan gaya penulisan dan tema, selain memasukkan pemikiran ke dalamnya. Justeru, sayembara menyediakan ruang kepada pengarang untuk tetap menghasilkan karya berestetika, sekali gus kejayaan ditentukan oleh kemahiran mengolah,” katanya. Bagaimanapun, peringatan Pensyarah Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Prof Dr Mohamad Mokhtar Abu Hassan, wajar diambil kira di sebalik keghairahan menyertai sayembara bagi mengelakkan mereka daripada ‘terperangkap’ sehingga tidak berupaya melangkah lebih jauh. “Meskipun sayembara memberikan kebaikan daripada sudut menggalakkan penghasilan karya, saya dapati ada sesetengah pengarang yang menghasilkan karya semata-mata untuk menyertainya dan ‘merebut’ hadiah. “Apabila motifnya semata-mata untuk sayembara, pengarang tidak lagi mementingkan mutu, estetika atau tujuan yang berhubung dengan sastera, sebaliknya menulis karya yang sesuai dengan tema, selain melihat siapa yang bakal menjadi panel hakim,” katanya yang berpengalaman lebih sedekad dalam menganggotai panel sayembara sastera. Prof Mohamad Mokhtar berkata, karya yang terarah kepada sayembara, mungkin mendapat penilaian yang baik daripada panel hakim, tetapi mutunya hanya berlegar dalam konteks sayembara dan tidak berupaya melangkah lebih jauh. “Justeru, kita dapati ada karya yang lahir daripada sayembara, tetapi mati begitu saja apabila tidak berupaya melangkah sebagai karya agung, manakala kekuatannya hanya kekal pada masa singkat kerana penghasilannya tidak mengambil kira mutu, estetika dan pemikiran,” katanya.

Sastera.com: Novel sulung pemotong rumput menang hadiah....

LAMAN web Hadiah The Desmond Elliot di alamat www.desmondelliottprize.com mengumumkan bekas pemotong rumput, pembasuh pinggan dan jurujual rumah kaca, Edward Hogan, memenangi anugerah yang dikhususkan kepada novel sulung itu. Hogan memenangi hadiah itu lewat novel berjudul Blackmoor yang ditulis berdasarkan kisah mogok pelombong yang berlaku di kampung halamannya, sekali gus melayakkan pengarang itu merangkul hadiah wang bernilai RM58,000 (£10,000). Pengerusi Panel Hakim, Candida Lycett Green, memperaku mutu luar biasa novel berkenaan menjadi kelebihan kepadanya berbanding novel lain yang disenarai pendek sehingga membawa kemenangan kepada pengarang kelahiran Derby pada 1980.


“Blackmoor ialah novel sulung pengarang itu, tetapi indah dan ditulis dengan gaya memikat pembaca, sekali gus kami berasa gembira Hogan memenangi Hadiah Desmond Elliot Ke-2 ini,” katanya ketika mengulas kemenangan novel yang turut disenarai pendek dalam Hadiah Dylan Thomas 2008 dan Anugerah Tahunan Pengarang Muda Sunday Times 2009. Selain Green, panel hakim turut dianggotai bekas Editor Sastera The Independent on Sunday, Suzi Feay dan wakil rangkaian kedai buku Waterstone, Rodney Troubridge. Hogan yang kini mengendalikan bengkel penulisan kreatif di kolej dan universiti di seluruh Britain serta berkhidmat di Universiti Sussex, pernah bekerja sambilan sebagai pemegang kad iklan di Lecester Square selain guru.
Laman web itu melaporkan, kemenangan pemegang sarjana kursus penulisan kreatif di Universiti East Anglia, membuktikan kursus penulisan kreatif di universiti berjaya menjadi batu loncatan untuk bakal pengarang merealisasikan impian melihat karya mereka diterbitkan. “Ini kerana bukan saja Hogan mengikuti kursus penulisan kreatif di Universiti East Anglia, bahkan pemenang tahun lalu, Nikita Lalwani, juga graduan kursus penulisan di Universiti Bath Spa,” catat laman web itu. Hadiah Desmond Elliott yang baru diperkenalkan bagi mengangkat novel sulung, kini memasuki tahun kedua dengan penilaian bertumpu terhadap novel yang memperlihatkan kedalaman dan keluasan di samping jalan cerita yang ada daya tarikan tinggi. Karya yang ingin memenangi hadiah terbabit juga turut disyaratkan ditulis dengan gaya meyakinkan dan mempunyai watak dengan perwatakan asli lagi memikat seperti dibuktikan lewat novel Blackmoor .
Hadiah Desmond Elliot kali pertama dimenangi Lalwani pada tahun lalu melalui novelnya, Gifted yang menerima pujian daripada pengkritik, selain meraih populariti sehingga turut disenaraikan sebagai The Observer’s Books of the Year.

Sastera.com: Angles & Demons karya Dan Brown undang kontroversi Oleh Hasnidarwina Hasim....

LAMAN web www.danbrown.com/novels/angels_demons/reviews.html membongkar bidasan dan pujian terhadap karya penulis laris di pasaran dunia, Dan Brown, yang namanya menjulang melalui The Da Vinci Code, manakala terkini apabila teks terdahulu, Angles & Demons, diadaptasi ke layar perak. Ramai memuji filem Angles & Demons tetap tampil menghiburkan meskipun diadaptasi daripada teks yang berkisar mengenai kepercayaan agama Kristian melalui pembongkaran simbol dan sejumlah kod dengan konspirasi menjatuhkan pucuk pimpinan di Gereja St Peter. “Ia antara novel terbaik yang pernah saya baca kerana Angels & Demons merangkumi thriller, misteri dan aksi mendebarkan dan sangat menghiburkan,” Davina Morgan dipetik melaporkan perkara terbabit dalam BookBrowse.com.

BookBrowse.com turut melaporkan novel Angels & Demons hanya popular selepas pengarah terkenal, Ron Howard, mengadaptasinya ke filem dengan secara bijak memanipulasi plot sehingga ia tampil menarik kerana mendebarkan penonton pada setiap babak. Laman yang sama turut melaporkan Angels & Demons sebagai pengalaman pembacaan yang tak mungkin dilupakan kerana Dan Brown melalui teksnya itu mencipta satu lagi novel thriller yang mencemaskan lagi sempurna. Novel Dan Brown sudah diterjemahkan ke dalam 51 bahasa di seluruh dunia dan hakikat itu melayakkan pengarangnya disenaraikan sebagai antara 100 pengarang paling berpengaruh dalam Time Magazine dan turut menghiasi beberapa majalah terkemuka seperti Newsweek, Forbes, People, GQ dan The New Yorker.
Barbara Peters daripada The Poisoned Pen pula dilaporkan memuji novel terbabit yang disifatkannya ditulis berdasarkan kajian yang hebat dan terlalu banyak perkara menyenangkan sehingga pembaca terpaku pada setiap halaman yang dibaca. Laman terbabit turut memetik kenyataan Mark Shea melalui http://hitapupondang.wordpress.com yang membidas Dan Brown kerana mengundang kontroversi apabila memperlihatkan kelemahan agama Kristian menerusi konflik antara ilmu pengetahuan dan agama, dengan penekanan khusus pada kebencian mahupun ketakutan Gereja Katolik terhadap sains. “Benar, Angels & Demon hanya sebuah novel, tetapi ini adalah taktik pertama penulis membuat propaganda dan kebiasaannya isu ini akan berhasil mempengaruhi penganut yang tidak memiliki latar belakang mengenai agama Kristian dan ini cukup membahayakan” Mark Shea dilaporkan berkata. Bagi Mark Shea Dan Brown tidak tahu apa yang dibicarakannya khususnya apabila mengatakan semua gereja di Rom adalah katedral sehingga penulis popular itu tampil seperti badut tanpa pendidikan.